Kenduri Kahwin

Assalamualaikum & Hello.
Kebiasaannya bila kenduri, memang tuan rumah lah yang paling sibuk sekali. Dari sebelum majlis sampai lah selesai majlis pun macam macam nak kena buat. Nani sehari sebelum kenduri memang malam tu awal lagi dah 'tumbang.' Bukan apa, badan dah tiga hari berturut turut buat kerja, so bila dah penat sangat memang satu benda pun tak jalan. Tidur aje lah jawapan dia kan 😆 Esok pagi pagi pukul lima lebih macam tu dah kena kerah bangun. Hahah! Biasa lah kan, nama pun kenduri jangan mimpi nak tidur lama lama walaupun dekat kampung paling syok membuta lepas subuh tu. Dia punya sejuk tu, pasang kipas nombor satu pun nak berselimut lagi. Syok! Nani dengan dua tiga orang mak saudara pagi tu kena settle kan bahagian makanan pengantin. Kali ni tak buat banyak pun, tiga jenis lauk aje sebab lauk yang hidang dekat tetamu pun dah banyak. Masak banyak banyak pun nanti, bukan sempat pun pengantin tu nak makan semua. Hahaha! 
Siap siap dah bagi tugasan apa semua, Nani kena uruskan udang goreng siap dengan deko! Weh dah lah paaaling tak pandai bab bab deko, lepas tu nak kena buat pulak. Sudahnya Nani letak aje salad dekat keliling pinggan tu & cucuk udang pada lidi. Alah, macam yang biasa orang lain buat tu. Buat aje lah kan mana yang sempat. Tapi satu gambar pun tak sempat nak ambil sebab handphone dah campak pergi mana entah time tu. Busy sangat sampai tak banyak pun bergambar. Hahah! 
 Kenduri hari tu kita orang pasang 9 buah khemah & dapat bayangkan tak betapa ramainya undangan tu kan. Memang kejap kang berlari masuk rumah ambil goodies bag bawa keluar. Nenek Nani cakap bawa keluar sikit sikit sebab tak ada tempat nak letak. Huhi. Memang multi tasking lah senang cerita hari tu. Tambah pulak bila engko salah sorang cucu yang dah besar, hah lagi lah macam macam kena buat. Zaman berlari lari, main main tu dah tak ada okayyy! 
 Tempat bergambar untuk tetamu. Kain belakang tu lupa dah nama dia apaa. Hahah! Sepupu Nani beli dekat Instagram RM 25 kalau tak silap sehelai. Ke RM35 entah. Style kan sekarang orang guna kain macam tu as background untuk bergambar. Kerus rustic tu pun dia tempah satu set RM 130. Hahah! Gigih kan, punya lah nak meriahkan majlis. Lagi pun nanti dia nak buat servis rustic ni jugak.
 Buah ni pun sepupu Nani jugak yang ukir. Siap pergi kelas okay belajar. Weh Nani kagum gila tengok! Sebab Nani bukan jenis yang tangan berseni dan lembut nak mengukir macam ni. Dia pun dekat semalaman mengukir baru siap. Kalau Nani, menangis lah nak siapkan. Hahahah! 
 Time kenduri tu jugak nenek Nani panggil orang main gendang dan bersilat. Lama sangat dah Nani tak tengok ada benda macam ni dekat majlis perkahwinan. Faham faham aje lah kan bila orang lama ni, ofcourse dia orang nak sesuatu yang tradisi tu ada jugak buat. Iya lah, kalau tak nanti ada pulak yang tak kenal tradisi lama ni kan. 
 Barakallah paksuu & maksu. Semoga Allah limpahkan rahmat, sakinah dan mawaddah untuk perkahwinan kalian. 
Hari tu ada yang komen dekat entry sebelum ni cakap paksu Nani nampak muda. Hahah! Dah 28 tahun ni hah, tak ada lah muda sangat. Memang umur pak su ni dengan anak buah tak jauh sangat. Selang dua tiga tahun aje. Heheh. 
 Kek ni mak cik Nani yang buat. Bunga tu fresh punya, bukan plastik okay! Hahah! Ada jugak yang mak cik Nani petik bunga dekat laman rumah nenek Nani 😆
Ini pulak kek red velvet & carrot cake untuk tetamu. Sebelah tu booth air krim & roti canai. Macam macam makanan ada hari tu. Seronok tengok tetamu makan 😊 Dekat felda ni, pukul 11 pagi macam tu dia orang dah start makan. Memang awal lah. Lepas tu pukul tiga lebih macam tu dah start buka khemah. Tapi sekejap gila dia orang buat kerja sebab ramai yang tolong. Cuma tinggal pinggan mangkuk yang dah siap basuh tu aje tuan rumah kena kemas & bahagian dalam rumah kan. Ehehe. Kenduri kali ni memang terasa penat dia. Hahah! Sampai nenek Nani cakap, cucu dia yang nak kahwin lepas ni kena tunggu setahun dulu. Bagi hilang bebetul penat kenduri kali ni. Ha dengar tu awak? Eh 😆 Apa pun, alhamdulillah dah selesai majlis ni. Meriah dan seronok sebab dapat kumpul with the whole family. Masa ni lah baru dapat tengok muka saudara mara yang dah lama tak berjumpa tu. 

Tradisi Rewang

Assalamualaikum & Hello.
Hai korang! Zaman sekarang ni memang jarang jarang jumpa tempat yang ada buat tradisi rewang bila kenduri kahwin atau pun majlis tertentu. Zaman sekarang memang selalu nya orang akan ambil pakerj katering. Kan? Tapi kalau dekat kampung still lagi ada aktiviti merewang ni dan memang meriah sangat waktu tu. Rumah nenek Nani pulak dekat felda, lagi lah ramai jiran yang datang tolong. Empat hari sebelum kenduri pun dah terasa meriah, sebab dia orang dah start datang hantar barang barang yang dia orang nak sedekah & tolong kemas apa yang patut. Kita orang yang tuan rumah ni pulak sampai tak ada kerja nak buat untuk memasak tu semua. Cuma settle kan bahagian goodies bag, bunga telur macam tu aje. Seronok dapat tengok suasana macam tu, sampai kan semua jiran nenek Nani tu pun Nani panggil 'nenek' jugak. Hahahah! Iya lah, nak panggil mak cik macam tak kena pulak. So gasak lah semua ku panggil nenek 😆 Sebelum majlis memang dah bahagi tugas siap siap, memang smooth aje semua. 
Nasi manis ni buat dua hari sebelum kenduri. First time seumur hidup tengok orang buat nasi manis. Daaan baru ku tahu jugak nasi manis ni ada banyak nama. Kalau belah utara, orang panggil pulut kacau kan, ada jugak sesetengah orang yang panggil wajik. Nani duduk sekejap aje dekat kawah ni pun dah tak tahan dengan asap + panas, tapi nenek tu semua steady je weh. Omg! Nani duduk kejap, tolong kacau sekali lepas tu ambil gambar & masuk rumah. Heheh. Lagi pun ramai time tu yang tolong kacau, so kita undur diri. 
Saja nak ulang tayang gambar gulai keladi hari tu. Ni pun nenek nenek tu yang masak. Senang cerita, memang semua makanan sepanjang nak kenduri dan hari kenduri semua nya air tangan jiran jiran nenek Nani. Dah lah laju gila dia orang masak. Kejap kang tengok lauk ni dah siap, lepas tu nanti eh dah hidang atas meja. Fuhh! Bila banyak tenaga kerj, memang kejap aje kan jadi. 
Sehari sebelum kenduri paaaling sibuk sebab hari tu lah dia orang datang tolong potong bawang, sediakan bahan bahan untuk kenduri esoknya. So kita orang satu family masak laksa dengan cucur udang. Kuah laksa ni malam tu lagi dah masak sebab sedap sikit bila kuah ni masak awal. Nenek Nani cakap tak ramai yang datang sekali ramai. Habis licin 10 bungkus laksa hari tu. 
Hari tu dapat lah jugak makan durian seulas sorang. Hahah! Kali ni durian dekat kampung Nani tak berapa menjadi sangat. Ini pun durian dekat rumah mak cik Nani. Dapat lah makan sikit sorang. Nak beli mahal sangat, sampai sekilo RM 15. Itu pun buah belum tentu elok. Apa pun memang kenduri kali ni, paling terasa penat dia tapi tetap lah seronok. Heheh. Maklumlah dah lama tak kenduri besar, ini pulak adik bongsu ibu Nani so tetamu tu mesti lah ramai jugak kan. Nani dah seminggu habis kenduri, baru rasa normal balik. Kah! Nasib baik ada jiran jiran nenek Nani yang tolong. Seronok bila kenduri dekat kampung ni sebab ada rewang lah. Korang amalkan lagi tradisi rewang ni? 

Memori Pajeri Nenas

Assalamualaikum & Hello.
Hai korang! Nani memang spesis yang suka layan drama drama Melayu ni. Tapi bukanlah semua, ada jugak yang Nani tak tengok. Tambah pulak kalau pelakon tu biasa biasa aje, lagi lah Nani tak layan. Baru ni ingat tak nak pun layan Memori Pajeri Nanas ni sebab nak kena langgan kan. Langgan pulak bukan free, kena bayar lah (macam tak biasa dengan Astro) 😆 Tapi lepas tengok promo Memori Pajeri Nanas ni terus rasa nak tengok tu kemain membuak buak. Hahaha! Barisan pelakon pun boleh tahan hebat jugak, jadi nya tak boleh tidak kena jugak tengok. Watak utama dalam cerita ni Alif Satar, Tiz Zaqyah dengan Siti Saleha. Tapi ini bukan drama cinta tiga segi ke atau pun cintak tak berbalas okay! Hahah! Ini cerita pasal kehidupan dalam sebuah rumah tangga yang ada macam macam rencah. Gituu. Daripada awal sampai habis, semua scene best. 

Sinopsis 

Mengisahkan Chef Armand (Alif Satar) begitu dikenali dengan resipi makanan hebat beliau. Sajian tradisional yang disediakan acap kali menjadi hidangan pilihan pengunjung di restoran-restoran terkemuka di ibu kota. Setiap satu air tangan beliau berjaya memenangi hati penggemar makanan sehinggakan mereka berkehendakkan lebih pilihan menu dari Chef Armand. Semuanya dilihat sempurna pada diri Armand. Seorang tukang masak yang hebat, bekerjaya, muda, dikurniakan seorang isteri yang cantik dan keluarga yang berlatarbelakangkan orang baik-baik.

Namun begitu, itu adalah sekadar luaran dan tidak mencerminkan apa yang terbuku di hati Armand. Armand mula kehilangan sentuhan masakannya. Mahligai perkahwinan yang dibina antara Armand (Alif Satar) dan Kayla (Tiz Zaqyah) dilihat mula goyah apabila kedua-dua mereka terlampau sibuk dengan kerjaya masing-masing. Armand merupakan seorang Chef dan perunding makanan untuk restoran-restoran terkemuka di Kuala Lumpur. Manakala isterinya, Kayla pula merupakan seorang wanita berkerjaya yang sentiasa sibuk dengan tugas di pejabat (agensi pengiklanan). Tuntutan tugas menjadikan kedua-dua mereka sentiasa berada di dalam keadaan tertekan sehinggakan tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama. 

Keadaan dilihat menjadi semakin keruh apabila Kayla terdengar perbualan telefon di antara Armand dan kawan baiknya, Camelia (Siti Saleha) yang turut merupakan bekas teman wanita Armand. Kayla mulai cemburu dan hubungan mereka semakin berantakan sehinggakan beliau ingin berpisah dari Armand. Berjayakah Armand memenangi kembali hati Kayla?
Memori Pajeri Nenas
Rasa banyak sangat benda boleh belajar daripada movie ni. Macam biasa lah kan, kalau dalm rumah tangga mesti ada pasang surut apa semua. Mula mula tengok macam geram jugak lah sebab Armand (Alif Satar) dengan isteri dia Kayla (Tiz Zaqyah) asyik nak bergaduh aje hari - hari. Benda kecik pun nak gaduh sebab masing - masing busy lepas tu tak ada masa nak spent time together. For me lah kan, kalau sibuk macam mana pun kan, at least kena cari masa jugak untuk berborak dengan partner. Kalau seorang ke hulu seorang ke hilir, dah macam masing - masing buat hal sendiri pulak. Rasa nya ada aje kan kes macam ni sekarang. Huhu. Nani pernah baca dalam buku ni, ustaz tu cakap dalam rumah tangga ni, komunikasi paaaling penting sekali.

Overall Nani suka jalan cerita Memori Pajeri Nanas ni dan suka gila dengan watak Chef Armand. Dah lah ada rupa, pandai masak pulak tu. Hahah! Sepanjang movie ni asyik terliur aje tengok dia dengan Chef Camelia masak macam macam. Yang paling rare sekali rendang cendawan kalau tak silap. First time tengok Alif Satar bawa watak yang lain daripada yang lain. Tapi ok sangat dia berlakon. Tak nampak kekok pun pegang pisau, memasak tu semua. Sukaa lah tengok. Korang kalau nak tengok boleh lah langgan di Astro okay! Bayar RM 15.90 dan tengok lah sampai lebam selama 48 jam tu. Hahah. Ke korang dah tengok? 

Resepi Roti Puri Mudah

Assalamualaikum & Hello.
Hai korang! Petang semalam rancak dia orang berborak pasal roti puri ni dalam group WhatsApp. Nani pernah lah tengok orang post gambar roti puri ni tapi tak pernah pulak terdetik nak buat. Heheh. Bukan apa, Nani ingatkan susah sangat nak buat roti puti ni hah. Sekali bila tengok bahan bahan dan cara nak buat roti puri ni, baru lah Nani tahu yang nak buat dia sangatlah simple. Dah lah sedap sebab rangup, terus rasa menyesal sebab lambat bebenor baru tahu resepi yang mudah macam ni. Memandangkan cara nak buat roti puri ni mudah, so Nani nak kongsikan dengan korang pulak hari ni. Mana lah tahu ada yang nak try pulak buat dekat rumah kan. Nak buat untuk minum pagi ke, minum petang memang sesuai sangat. Ada pulak kuah kacang dhal memang layan. Kalau malas nak buat kuah dhal, goreng sardin pun ngam jugak. Let's check it out resepi dekat bawah ni okay! 
Nani semalam kuah kacang dhal ada, kuah gulai lemak ada, sambil ikan bilis pun ada. Layaan betul makan. Lagi pun semalam birthday ibu, so kita hadiahkan ibu hidangan lain daripada yang lain sikit. First time semua orang dalam rumah ni makan roti puri. Hahah! Dah makan, suruh buat lagi nanti. Ha sudah, semua dah terkena penangan roti puri nampaknyaa 😆

Bahan bahan untuk buat roti puri ni tepung gandum dua cawan, satu sudu teh yis, satu sudu teh minyak masak dan garam secukup rasa. Masukkan semua sekali dalam satu bekas lepas tu letakkan air sedikit demi sedikit. Uli sehingga menjadi doh lepas tu biarkan sekejap dalam 20 ke 30 minit. Nani letak dekat luar aje, tak payah masukkan dalam peti ais pun. Nani ada jugak baca, kalau tak nak letak yis pun boleh. Nanti boleh lah try buat yang tak letak yis pulak.

Lepas tu, ambil sedikit doh tadi dan canai nipis nipis. Kalau ikut resepi yang Nani baca tu, lepas dah canai terus goreng dalam minyak yang dah panas. Pastikan minyak tu betul betul panas, kalau tak nanti tak jadi kembung roti puri korang. Lagi satu, bila dah masukkan dalam minyak panas, kena tekankan sedikit supaya semua bahagian kena minyak.

Masa masuk dalam kuali semalam, nervous jugak takut tak kembang. Hahah! Sekali menjadi roti puri ni. Kemain seronok sangat. Cuma eloknya buat dua orang. Sorang canai doh, sorang goreng. Kalau dah pro, boleh aje buat seorang diri. Bukan apa, Nani baca resepi asal tu dia cakap lepas canai terus goreng. Jangan canai habis semua doh baru goreng nanti dia tak berapa menjadi. Mungkin lah kot kan. Korang boleh lah try pulak resepi mudah ni dekat rumah. Memang simple, bahan bahan pun semua dah ada dekat dapur tu kan. Mungkin yis aje lah kot yang nak kena beli. Heheh. Selamat mencuba! 

Segmen Blogwalking Merdeka 2017 Mialiana.com

Assalamualaikum & Hello.
Segmen Blogwalking Merdeka 2017 Mialiana.com

Segmen Blogwalking Merdeka 2017 Mialiana.com bermula dari saat ini sehingga 11.59 malam 14 Ogos 2017. Semua blogger yang bermastautin di Malaysia dijemput join. 5 pemenang bertuah dicari dan akan menerima RM10 setiap seorang.

Syarat-syaratnya :
  1. Follow blog Mialiana.com, Add To Circle Google+ Mia Liana dan Like Fanpage Mialiana.com
  2. Buat entri bertajuk Segmen Blogwalking Merdeka 2017 Mialiana.com
  3. Copy coding yang telah disediakan dan paste kan ke dalam ruangan HTML dan Publish entri.
  4. Hantar URL entri anda ke dalam ruangan komen SINI
  5. Segmen akan tamat pada 11.59 malam 14 Ogos 2017.
Pemenang akan dipilih melalui random.org dan keputusan pemenang akan diumumkan pada 21 Ogos 2017.

** sila klik pada banner untuk join segmen ini.....

Gulai Keladi

Assalamualaikum & Hello.
Hai korang! Kejapnya rasa dah hari Jumaat pun hari ni. Nani minggu ni macam ting tong sikit. Eh yeke sikit? Hahah! Macam banyak aje. Serius lepas kenduri haritu hari hari rasa nak tidur awal sebab penat tak hilang lagi. Bukan apa, bila dah lama tak kenduri besar memang penat tu lain macam betu. Badan pun tak berapa sihat, demam & selsema. Hari ni baru rasa dah sihat sikit. Sorry tau mana yang singgah sini tapi Nani tak balas balik. InshaAllah weekend ni Nani pergi baca entry korang okay! Hari ni nak share dengan korang salah satu menu masa rewang dekat kampung hari tu. Kita orang satu family dengan jiran jiran nenek Nani sekali masak gulai keladi. Kalau dekat Pahang ni selalu aje jumpa gulai keladi ni cuma kena pandai pilih lah sebab kadang kadang ada jugak yang jenis gatal tu. Dulu pernah sekali ibu Nani masak, baru jamah dah gatal tekak. Buang saja satu periuk gulai. Huhu. 
Gulai Keladi
Hari tu buat dua jenis gulai keladi ni. Satu masak tempoyak dan satu lagi buat masak asam rebus. Merewang dekat kampung ni meriah sangat. Rasa macam kenduri dah sebab ramai sangat orang kampung datang tolong. Nanti lah kalau sempat Nani buat entry pasal rewang hari tu. Kemain banyak nak cerita, macam banyak sangat masa dia tu kan. Hahahah! 
Gulai Keladi
Nani memang selalu makan gulai keladi tempoyak ni. Campur pulak dengan ikan bilis sikit, apak sedaaaap! Ada nasi panas, ikan masin sikit fuh bertambah tambah makan. Hahah! Ada lauk lain pun tak pandang dah. Masakan kampung macam ni memang tak boleh nak tolak. 
Gulai Keladi
Nani jarang jarang makan keladi masak asam rebus ni. Dulu pernah tengok orang buat tapi tak pernah rasa. Hari tu pun tak rasa jugak, sebab gulai tempoyak tu lagi menyelerakan. Hahah! Hari tu buat gulai asam rebus ni jugak sebab ada yang tak makan tempoyak. Keladi pun ada banyak, so buatlah dua jenis gulai. Nasib baik dapat keladi yang tak gatal. Kalau tak, tak dapat bayangkan macam mana. Hahah! Dah lah nak jamu orang makan tengah hari 😆 Korang pulak pernah tak makan gulai keladi macam ni? Selalu masak tempoyak ke masak asam rebus? Atau ada gulai lain lagi yang boleh buat. Jom lah kongsi sikit! 

Melting Cheese Cake

Assalamualaikum & Hello.
Kalau sebut pasal cheese cake ni memang jarang sangat jumpa yang tak sedap. Selalunya yang Nani makan semua kena dengan tekak & citarasa sendiri. Heheh. Cuma kalau selalu sangat makan boleh muak jugak sikit 😆 Dulu pernah jugak berhajat nak buat cheese cake sendiri sebab tengok resepi macam mudah dan senang sangaat. Sekali dah try, baru tahu macam mana. Tak menjadi weh Nani buat cheese cake hari tu. Nangis dalam hati mengenangkan harga beli bahan bahan tu mahal gila. Hahah! Lepas daripada tu, taubat dah tak nak buat sendiri. Kalau teringin sangat, beli aje dekat kedai. Mungkin kena masuk kelas buat cheese cake dulu lah lepas ni. Lupakan pasal cheese cake tak menjadi tu, hari ni Nani nak share dengan korang pasal melting cheese cake. Nani baru tahu wujudnya melting cheese cake ni sebab minggu lepas mak cik Nani buat. Cheese cake pun dah ada macam macam jenis sekarang! 
Kalau dulu dulu orang selalu jual cheese cake yang biasa tu kan, dengan cheese yang meleleh tu peh memang sedap! Tak lama lepas tu muncul pulak Japanese cheesecake yang gebus gebas. Sekarang ni melting cheese cake pulak. Apa bezanya melting cheese cake dengan cheese cake yang lain lain? Beza dia topping melting cheese cake ni ada macam macam jenis buah. Kalau korang tengok dekat gambar bawah ni ada buah mangga, kiwi, strawberry dengan anggur. Dekat lapisan bawah sekali tu pulak ada biskut oreo yang dah dihancurkan. Sekali suap memang rasa nak lagi. Tak tipu tau korang! Sedap sangat sangaaat! Heheh. Kalau tengok dekat Instagram pun, dah ramai orang jual melting cheese cake ni. Boleh lah korang pergi check it out lepas ni okay!
Melting Cheese Cake
Hari tu mak cik Nani saja try buat & bagi kita orang rasa. Dah dapat rasa, terus nak suruh dia buatkan lagi. Hahaha! Pada Nani kalau buah kiwi tu manis, memang nice lah. Tapi kalau dapat yang masam macam tak berapa nak kick sangat rasa dia. Tak sempat pun nak minta resepi dengan mak cik Nani sebab masing masing busy dengan macam macam kerja untuk kenduri. Lepas ni lah nak tanya dia macam mana nak buat melting cheese cake. Mana tahu tiba tiba nanti datang mood rajin nak try buat sendiri pulak dekat rumah. Hahaha! Try buat aje lah, jadi atau pun tak, tu cerita kedua. Korang dah try rasa ke melting cheese cake ni? 

Milo Cube Viral

Assalamualaikum & Hello. 
Hai korang! Rasanya dah dua tiga bulan jugak orang bercakap cakap pasal Milo Cube ni kan. Nani masa mula mula Milo Cube ni ada jual, memang teringin sangat nak rasa. Tapiiii harga dia mashaAllah mahal. Bukan nak berkira sangat bab makanan ni tapi kalau sampai RM 50 satu paket orang jual, macam tak berbaloi pulak nak beli kan. Heheh. Kalau kongsi ramai ramai mungkin lah boleh jimat. Itu dulu lah masa mula mula Milo Cube ni viral dekat Malaysia. Time tu bersepah sepah orang jual dekat Instagram tapi susah nak jumpa yang harga bawah daripada RM40 macam tu. Kena pandai lah cari dekat Instagram mana yang jual dengan harga berpatutan. Sekarang ni kalau nak beli murah murah je orang jual. Baru ni mak cik Nani beli dekat Subang, baru RM 9 untuk sepaket Milo Cube ni hah. Muraaaah gilaa! Memang selalunya macam tu lah, bila mula mula keluar harga memang mahal sikit, lama lama dia akan jadi murah jugak. 
Milo Cube Viral
Kecik macam ni aje hah Milo Cube ni. Nani pun mula mula dulu ingat besar sangat sebab mostly jual harga mahal kan. Rupanyaa alahai sekali ngap aje dah selamat telan semua. Hahahah! Tak ingat ada berapa biji dalam satu paket tu. Sama ada 50 atau 100 biji, Nani pun terlupa nak tengok sebab hari tu masing masing berebut nak rasa Milo Cube ni hah. Tak silap dekat SACC Mall minggu lepas pun dia orang ada buat jualan murah untuk coklat macam Milo Cuba, Kit Kat & macam macam lagi lah. Nani pun tak sempat pergi sebab time tu dah dekat Pahang, busy buat persiapan untuk majlis kahwin. 
Milo Cube Viral
Rasa Milo Cube ni sama aje macam milo biasa tu. Cuma yang ni macam manis sikit daripada milo yang serbuk tu pada Nani. Hari tu Nani makan macam tu aje, tak bancuh dalam air pun. Dulu ada jugak Nani baca kalau nak bancuh air, kena guna air yang betul betul panas. Kalau tak, lambat pulak Milo Cuba ni nak cair. Lepas ni nak suruh mak cik Nani orderkan lagi lah sebab harga dia boleh tahan murah compare kalau beli thru online. Kalau online selalunya RM 50 untuk satu paket Milo Cube ni lepas tu tambah postage lagi. Fuhhh! Korang pulak dah pernah rasa ke Milo Cube Viral ni? 

Pulut Hijau Kuning

Assalamualaikum & Hello.
Minggu ni memang banyak cerita pasal makanan aje. Murah sangat rezeki, macam macam orang bagi. Hari tu Puding Raja Pekan, kali ni pulut hijau kuning pulak. Nama tu Nani yang letak okay!  Hahah! Pulut kuning tu memang dah biasa sangat lah kan kita makan, sekali dia bagi pulut hijau. Lain daripada yang lain sangat kan. Buka aje tupperware, tercenggang kejap tengok warna pulut tu. Kemain menyerlah sangat warna hijau. Mula mula Nani macam eh apa rasa pulut hijau ni? Sedap ke kalau makan? Lol 😆 Rasa pulut tu lah jugak cumanya dia warna hijau. Sama macam pulut pulut lain. Ini memang first time Nani jumpa pulut hijau yang dimakan bersama dengan rendang. Selalu kalau pulut yang kita makan dengan rendang ni pulut biasa tu tak pun pulut kuning. Dua ni aje lah yang Nani selalu jumpa. Lain lain warna tak pernah lagi Nani tengok.  
Kawan Nani cakap dah macam pulut Kedah sebab warna hijau kuning tu. Hahah! Tahu lah tu warna negeri Kedah kan 😆 Walaupun warna kemain menyerlah, tapi rasa tetap tip top. Makan pulak dengan rendang ayam kampung memang ngam sangat! Malam tu tak makan nasi dah kita orang. Makan pulut dengan rendang ni aje pun dah kenyang. 
Fefeeling macam Hari Raya sangaat! Hahah! Siap ada rendang ayam apa semua kan. Nani jarang makan rendang ayam kampung ni sebab abah tak makan so tak pernah pun ibu buat. Hari tu masa mula mula makan Nani ingatkan tu daging sebab tak rasa macam ayam pun. Pandai mak cik ni masak sebab ayam kampung tu lembut aje. Sedap! Moga murah rezeki orang yang memberi pulut dan rendang ayam ni. Seronok sangat bila dikelilingi orang yang baik dan suka memberi. Korang pernah ke jumpa pulut yang warna warni macam ni? 

Bawal Organza | Trend Tudung Terkini

Assalamualaikum & Hello.
Hai korang! Siapa peminat tudung bawal dekat sini? Haa, selalunya kita pakai bawal biasa biasa aje kan, apa kata lepas ni try pakai bawal organza pulak! Eh bawal organza tu bawal yang macam mana pulak. Bawal organza ni antara bawal yang paaling senang nak iron, paaling senang nak bentuk. Dah semua senang ni siapa yang tak suka kan? Lagi lagi part yang paling senang nak bentuk tu. Percayalah, kalau tudung tak menjadi pagi tu memang satu hari engko akan rasa badmood. Kaan? Lepas tu rasa semua benda tak jadi. Hahah! Dengan adanya bawal organza ni, tak payah risau lagi dan kalau tudung tetiba tak jadi bila nak pergi kelas atau pun pergi kerja. Lepas ni memang hari hari korang mesti akan ceria bila pakai bawal organza. Dekat mana boleh beli tudung bawal organza ni? Haa korang boleh lah scroll dekat Instagram @thekasyaf.co sanaa! 
Bawal Organza
Kasyfi bawal organza ni didatangkan dengan lima pilihan warna yang dekat atas ni. Paaaling best, semua warna ni warna yang Nani suka sebab boleh match kan dengan macam macam warna baju. Material yang digunakan pun memang jenis premium dan berkualiti tinggi. Dijamin selesa aje bila pakai dan terletak elok aje dekat atas kepala tu. 
Bawal Organza
Manis sangat kan tengok model ni gayakan bawal organza. Oh ya, bawal organza ni bidang 45 tau, standard tudung tudung bawal lain jugak. So memang sesuai lah untuk semua orang pakai. Nak buat macam macam style pun boleh. Ikut suka masing masing! 
Bawal Organza
Memang confirm korang akan jatuh cinta dengan Ksyfi Bawal Organza ni. Serba serbi best. Nak hadiahkan untuk mak, adik, tunang, isteri pun boleh! Mesti dia orang makin sayang lepas dapat tudung bawal organza ni. Ehem. 
Bawal Organza
Harga sehelai bawal organza ni RM 35. Nakk lagi murah boleh mentioned nama Nani. Eh? Mana lah tahu boleh dapat diskaun kan. Hahah! Tapi serius tudung ni nampak selesa dan elok sangat. Nak bentuk pun senang, tak payah berlama lama nak betulkan tudung depan cermin. Mana yang baru nak berjinak jinak pakai tudung bawal tu pun, boleh lah beli bawal organza ni.
Bawal Organza
Dekat atas ni perbandingan Kasyfi bawal organza (KIRI) & bawal organza yang orang lain jual (KANAN). Memang Kasyfi bawal organza ni tak jarang langsung kalau korang beli melalui @thekasyaf.co 😊 Kalau beli mahal mahal tapi jarang, dah satu hal pulak nak kena pakai inner apa pulak kan. Tunggu apa lagi tu, boleh laju laju terjah Instagram dia orang takpun nak lagi cepat, WhatsApp aje dia orang okay! Confirm akan dilayan secepat mungkin. Jangan lupa jadikan Kasyfi Bawal Organza ni sebagai salah satu koleksi korang!
Instagram : @thekasyaf.co
WhatsApp : 017 980 3964


Puding Raja Pekan

Assalamualaikum & Hello.
Hai korang! Rasa macam sekejap aje masa berlalu, esok dah nak masuk bulan Ogos pun. Terasa semakin menghampiri ke penghujung tahun 2017. So, apa aktiviti korang weekend lepas? Nani tak ada ke mana pun, sibuk untuk kenduri weekend ni di kampung. Tak sabar nak balik kampung, jumpa saudara mara, merewang lepas tu macam macam jenis makanan adaa! Bercakap pasal makanan, semalam kawan Nani bagi Puding Raja Pekan. Walaupun Nani ni orang Pahang, tapi boleh bilang dengan jari aje berapa kali pernah makan puding raja ni hah. Secara jujurnya, jaraaang sangat boleh jumpa puding raja yang betul betul asli dan sedap. Kadang kadang ada yang jual mahal kemain tapi rasa biasa biasa aje. Semalam kawan Nani ke Pekan, lepas tu dia sedekahkan sebekas puding raja yang memang sedap sangat sangat! Malam tadi dia bagi, sekali hadap aje habis. Hahah! Nama pun puding raja Pekan, haruslah yang sedap tu datangnya dari daerah Pekan jugak. 
Puding Raja Pekan
 Banyak kan sebekas puding raja ni. Dia cakap ini antara puding raja paling sedap dekat Pekan. Semoga makin murah rezeki yang menjual ni sebab sedaap dan portion pun banyak. Buah buah tu pun tak kedekut langsung dia letak. Puas hati dapat makan puding raja sedap macam ni. Nak beli lagi, jauh sangat ke Pekan sana. Hahah! Ini pun rezeki kawan yang bagi semalam. 
Puding Raja Pekan
Teringat ingat lagi puding ni. Tak manis sangat sebab tu Nani suka. Bila makan sekali, memang rasa nak lagi. Tapi Nani lupa nak tanya dia dekat mana dia beli area Pekan tu. Heheh. Dulu pernah tengok orang buat puding raja ni dekat tv, boleh tahan jugak susah dia. Nak buat jala tu aje pun dah makan masa. Sebab Nani tak pernah buat, tu yang rasa susah sikit kot. Hahah! Nanti lah bila bila kita try buat menu tradisional ni pulak. Dulu pernah try buat kuih keria, apak mencabar & tak berapa nak menjadi sangat. Lepas tu terus rasa tak nak lagi dah try. Hahah! Korang pernah makan puding raja ni?

Resepi Kuey Teow Goreng Mudah

Assalamualaikum & Hello.
Hai korang! Since hari tu ada yang tanya macam mana nak buat kuey teow goreng paaaling simple, so nah ni resepinya (ikut citarasa Nani). Baru hari ni sempat nak buat entry, busy sangat gayanya kan. Hahah! Busy tu tak sangat, tapi malas tu mashaAllah. Susah betul nak kikis penyakit yang satu ni. Korang yang bujang & suka resepi yang simple tu boleh lah try buat okay! Bahan bahan yang diperlukan pun sikit aje.  Hari tu Nani ada share video goreng kuey teow ni dekat Instagram dan ada jugak kawan tanya "eh macam tu je ke goreng kuey teow?" Pada Nani, masak ni kena berani try and error. Kalau jadi, bonus! Kalau tak jadi, cuba lah buat sampai menjadi kan. Heheh. Jom lah baca resepi Nani yang biasa biasa ni dekat bawah okayy! Dah baca, kena lah cuba buat. Kalau nak tanya apa apa, boleh drop soalan dekat bawah.
Resepi Kuey Teow Goreng Mudah
Bahan Bahan :
💫Minyak Masak
💫Bawang Putih 
💫Cili Kisar
💫Kicap 
💫Kuey Teow
💫Garam
💫Taugeh 
Cara - Caranya :
1) Mula mula sekali, haruslah panaskan minyak kan. Sikit aje tau, dalm tiga ke empat sudu besar macam tu. Ikut lah banyak mana kuey teow yang korang nak goreng tu.
2) Bila minyak dah panas, tumis kan bawang putih. Nani guna bawang putih aje, kalau nak letak bawang lain pun boleh okay! 
3) Bawang dah garing, masukkan cili kering yang dah dikisar. Tumis sampai garing. Kalau ada ayam, fishcake atau pun fishball letak lepas masukkan cili kering ni tau. 
4) Elok dah sebati dalam kuali tu, masukkan kicap. Agak agak lah eh letak kicap tu sebab kena ikut jugak banyak mana kuey teow yang kita ada.
5) Kacau kacau sikit, masukkan kuey teow dan jugak taugeh. Garam tu letak lah sikit aje sebab kicap dah sedia masin. Kalau ada daun kucai pun okay jugak nak letak. 
6) Siappp!
Ha mudah sangat kan! Korang boleh lah try buat dekat rumah pulak. Nani hari tu memang buat kuey teow goreng kosong aje. Ayam ke fish cake semua tak ada sebab tu goreng telur mata. Nikmat okay dapat makan kuey teow goreng macam ni lagi lagi time breakfast. Terus kenyang sampai ke petang. Hahah! Selamat mencuba korang! 

Selamat Pengantin Baru!

Assalamualaikum & Hello.
Minggu lepas busy sikit sebab pak cik Nani nak kahwin. Nani pun kejap kejap kang balik kampung sebab nak tolong sepupu siapkan hantaran. Sorry sangat tau sebab Nani tak blogwalking sangat dekat blog korang minggu lepas. Memang terhad sangat masa. First time try buat hantaran, memang nak pengsan jugak rasa. Hahah! Oi baru untuk majlis orang lain dia dah mengeluh, esok untuk majlis sendiri pengsan terus. Eh? 😆 Dari membeli semua barang untuk hantaran sampai lah nak buat memang banyak guna tenaga okay. Barang barang nak buat hantaran pun sekarang kemain mahal. Lagi jimat buat sendiri lah sebab boleh cut sikit bajet dekat sana sini. Nani tengok hari tu kalau beli bekas untuk hantaran yang dah siap deko tu dalam RM 200 ++ untuk lima bekas. Itu baru bekas hantaran, tak masuk lagi barang yang nak letak atas tu. Heheh. So, kalau nak kahwin pastikan kewangan dah stabil dulu okay. Elakkan berhutang, buat takat yang kita mampu. 
 Bila guna bekas hantaran yang rustic macam ni, senang sikit sebab tak payah nak hias beria sangat. Kita orang hari tu beli rumput plastik lepas tu bunga macam dekat atas ni aje. Settle! Keliling bekas hantaran tu letak riben pulak. Heheh. Bunga plastik tu kalau beli banyak dapatlah murah sikit, kalau beli sekuntum dalam empat ringgit satu. Pada Nani, mahal jugaklah empat ringgit tu. Ehehe. 
 Tag tu pun saja suka suka Nani buat sebab hari tu tengok majlis kawan Nani cantik aje dia letak. Untung bila buat sendiri ni sebab next time kalau ada lagi yang nak kahwin, dah tahu macam mana nak gubah hantaran tu. Memang mostly kita orang refer Internet lah nak dapat idea tu kan. Alhamdulillah dalam masa seminggu dapat settle buat hantaran.
 
 Alhamdulillah dengan sekali lafaz, dah selamat jadi isteri orang pak cik Nani ni. Heheh. Kahwin dengan orang Pahang jugak so mudah lah. Tak jauh sangat nak pergi. 

 Ibu & mak cik mak cik Nani. Semua dah kahwin ni. Ehehe. Pakai aje balik baju masa Hari Raya hari tu, tema emerald green. Nanti kenduri dekat rumah nenek Nani, tema pink pulak. Memang banyak betul baju kurung tahun ni, boleh lah pakai buat pergi kelas. 
Barakallah pak su & mak su. Rasa macam tak percaya pulak pak cik sendiri dah kahwin. Hahah! Lepas ni boleh lah anak anak buah pulak yang menyusul. Eh eh 😆

Tujuh dulang hantaran, berbalas sembilan. Patutnya nak bagi buah jugak tapi tiba tiba dah terlebih bekas. Nani pun tanya lah nenek Nani, "kenapa tak bawak aje lapan? Kenapa nak kena bawak hantaran ganjil?" Hahaha! Banyak pulak tanya kan. Sekali kena bebel dengan nenek Nani. Kena lah ikut adat apa semua. Esok kalau tak ikut adat macam ni, lama lama nanti hilang adat tu. Tudiaaa! Kan ada pepatah Melayu yang biar mati anak, jangan mati adat. Ada kan? Ha memanng kalau berborak dengan orang tua tua ni jangan lah nak bercakap lebih lebih pasal adat tu. Ikut aje lah tradisi orang Melayu ni kan. Apa apa pun, alhamdulillah dah selesai satu majlis. Lagi dua minggu, majlis belah kita orang pulak. Tak sabaar nak balik kampung, dapat kumpul ramai ramai dan rewang untuk kenduri. Family Nani jenis yang tak suka guna katering, selalunya masak sendiri lah. Lagi pun bila dekat felda ni, semangat kejiranan dia orang tu memang powerrr! 


Penghujung Syawal

Assalamualaikum & Hello.
Hari ni dah genap 30 Syawal, kejap aje masa berlalu dah habis sebulan kita beraya. Semalam masih menerima kunjungan tetamu yang merupakan kawan baik sendiri masa zaman sekolah menengah dulu. Tahun ni alhamdulillah ramai sangat yang sudi berkunjung ke rumah saya. Seronok sangat sangat sebab dapat jumpa balik kawan zaman sekolah dulu. Walaupun dah penghujung Syawal, sanggup jugak dia orang datang ke rumah, siap request nak bawa balik sambal hitam ibu Nani lagi. Yang ni antara muka yang dah selalu sangat datang rumah. Dulu zaman semua tengah bujang, selalu main masak masak, berborak sampai lewat malam, buat potluck apa semua memang best! Rindunya nak kumpul macam tu lagi. Bila jarang jarang berjumpa, memang macam macam cerita nak dikongsikan. Sehari pun tak cukup kalau dah jumpa dengan dia orang bertiga ni. 
Seorang dah jadi isteri dan emak orang, lagi tiga masih single lagi. Eh? Alhamdulillah dapat jugak jumpa semalam setelah berkali kali plan dan tak menjadi. Hahah! Biasalah kan, bila masing masing ada komitmen tersendiri, bukan senang nak kumpul balik semula. Bila ada masa, laju aje semua nak jumpa. Last jumpa bulan empat hari tu kot. Lama sangat dah. 
Sebelum datang dia orang awal awal lagi dah bagitahu jangan masak sebab nak ajak pergi makan dekat Pizza Hut. Makanya semalam ke Pizza Hut lah lagi kita. Hahah! Ambil set yang untuk empat orang terus tu senang dan banyak. Heheh. Cuma sekarang dah tak ada ice cream, dia orang gantikan dengan Rose Puding yang manis gila. Nani tak boleh nak makan langsung. Huhu. 
Creamy fondue paling fav. Makan sambil berborak memang syok betul. Macam macam cerita keluar, punya lah lama tak jumpa kan. Lepas ni pun tak tahu lagi bila semua orang free. First time Raya dapat jumpa dia orang ni. Selalunya time Raya tak pernah sempat nak jumpa dia orang ni. Punya lah busy kan. Hahah! Nak jumpa pun payah masing - masing. 
Pipi tu kemain lagi menaik dengan jayanya. Hahaha! Musim Raya ni lagi lah, hari hari ada aje undangan open house. Nani pulak selagi berkelapangan, wajib pergi. Eh? 😆
Memenuhi hajat mama orang yang nak makan Pizza Hut. Hahah! Kemain lagi bahagia dapat spent time dengan dia orang ni. 
Terima kasih sudi datang jumpa walaupun sekejap. Next time kita plan buat potluck pulak okay! Dah mula rindu semua orang. Kalau semua bujang lagi, dah lama ajak bermalam aje dekat rumah hari Sabtu hari tu. Heheh. Walau jauh pada jarak, inshaAllah sentiasa dekat dalam doa. Memandangkan hari ni last dah Raya, dekat sini ada lagi yang buat open house. Tengah hari ni nak memenuhi undangan open house lagi. Hahaha! Gigih kan nak pergi. Lagi satu, jimat sebab tak payah memasak dan tak payah membeli. Moga murah selalu rezeki tuan rumah yang selalu ajak pergi open house ni. Korang ada dapat undangan open house lagi tak hari ni? 


Open House Raya!

Assalamualaikum & Hello.
Selagi tak habis Syawal, memang tiap kali dapat undangan open house laju aje nak pergi. Makan free kan, siapa tak nak. Selalu attend open house orang, kali ni kita orang satu family pulak yang buat open house. Fuh! Memang penat okay bila semua makanan masak sendiri kecuali lemang lah, yang tu tempah aje dengan orang lain. Dalam sibuk nak memasak tu tiba tiba sehari sebelum open house, air tak ada! Terpaksa pulak cari air, tadah apa semua. Seksa sangat tak ada air ni, nak buat satu kerja pun tak boleh. Dua puluh empat jam pulak tu tak ada air, dah lah tak bagi notis apa pun. Bila air dah ada, keruh pulak. Phew! Dugaan betul hari tu. Nasib baik lah guna pinggan & cawan yang pakai buang tu, kalau tak ha penuh lah pinggan mangkuk nak kena basuh pulak kan. Heheh. Buat open house atau pun makan makan macam ni memang penat sikit, tapi seronok sebab dapat jamu orang makan. 
 Hari tu tempah lemang dalam 16 batang, habis semua licin. Kita orang pun dapat lah simpan sebatang untuk makan sendiri. Heheh. Rezeki tetamu yang datang hari tu dapat makan lemang jugak. 
 Rendang ayam lapan ekor ibu Nani yang masak sendiri. Kita orang hari tu masak jugak sambal sardin untuk makan dengan lemang. Sambal sardin lagi laku keras daripada rendang ayam. Hahah! Mungkin orang dah jemu kot sebab selalu sangat makan ayam waktu Raya ni. 
 Bihun goreng satu kawah kecik. Bukan kuali tapi kawah ya. Punya lah ramai kan undangan hari tu. Heheh. Kita orang hari tu buat perjumpaan dengan jiran jiran jugak untuk pengagihan kerja masa kenduri kahwin pakcik Nani nanti. Itu yang kemain banyak kan masak. 
 Soto tapi nasi impit dengan taugeh tak berapa nampak sangat, terlindung dengan timbunan ayam carik. Hahah! Gambar pun tak sempat nak buat yang proper dah! Time tu dah penat, malas nak ambil gambar elok elok. Mana yang ada aje lah kita letak dalam blog ni. Nak jugak abadikan dalam blog ni kan. Buat kenangan katanyaaaa! 😆
 Open house kali ni, boleh pulak the whole family lupa nak prepare pencuci mulut. Hahah! Sibuk dengan menu utama sampai lupa pencuci mulut. So, tapai aje lah yang ada hari tu dengan mango yogurt kek yang dekat bawah ni. 
 Sedappp gila mango yogurt cake yang mak cik Nani ni buat. Masam masam manis gitu. Makan sepotong pun tak cukup. Eh? Kalau nak order boleh lah pm Nani (RM 60 untuk sebiji kek ni) tapi untuk yang tinggal area Jerantut aje lah okay! Heheh. 
Sekejap aje dah tinggal separuh 😆 Dah habis pun, ada lagi yang tanya pasal kek ni. Hahah! Tengah seronok tetamu makan & berborak tiba tiba elektrik pulak tak ada! Gelap terus satu rumah sebab time tu dah nak dekat senja. Adoi, kesian betul tetamu yang tengah makan sebab kena pindah duduk dekat luar pulak. Panas berbahang terus bila tak ada elektrik ni. Dua jam pulak tu tak ada elektrik, sabar aje lah aku. Kali ni kenapa entah, air tak ada lah, elektrik tak ada lah. Masing - masing duduk dalam gelap. Huhu. Pinggan mangkuk pun laju laju basuh sebelum pukul lapan malam. Hahah! Iya lah, kalau nak tinggal macam tu aje nanti berbau pulak kann. Nak tak nak, semua kena kerah basuh laju laju. Hahah!  Korang pernah tak jadi macam ni? Heheh. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2015 JIAKREATIFELT. All rights reserved. | Sign in|Top of page