190220 I Selamat Malam Abah

Assalamualaikum & Hello. 
(Disclaimer: Ini entry terakhir daripada aku, rasanya dah sampai masa untuk aku berehat panjang daripada menulis blog. Post kali ini juga agak panjang dari biasa dan aku menulis bukan untuk meraih simpati siapa siapa cuma aku ingin abadikan di sini supaya satu hari nanti seandainya Tuhan takdirkan aku mempunyai anak, aku nak anak aku baca dan kenal figura yang paling penting dan istimewa di sudut hati aku. Seseorang yang tak mungkin dapat ditukar ganti)
|19022020 | Rabu | 1000 Pagi |
Hari dan tarikh yang aku akan ingat sampai bila bila. Pagi tu aku baru aje siap panaskan lauk untuk lunch dan nak settle kan sikit lagi kerja kerja rumah. Tiba tiba mak cik aku datang rumah tanya, Nani ada tak orang bagi tahu cakap abah awak accident? Allahuakhbar, masa tu lemah terus lutut. Tangan menggeletar, risau betul fikirkan keadaan abah. Aku ambil telefon check, tapi tak ada satu pun panggilan yang masuk. Telefon ibu nak minta kepastian & bila ibu cakap memang abah accident sambil menangis nangis, terus lah aku bersiap siap ke hospital tak fikir benda lain dah. Sepanjang perjalanan nak ke hospital tu tak henti henti aku doa minta Tuhan permudahkan urusan aku. Jarak hospital yang tak jauh mana itu pun aku rasa paling lama sekali nak sampai. 
Sampai aje dekat hospital aku terus ke unit kecemasan, masa tu memang dalam kepala fikir abah dekat wad kecemasan. Tapi lain pula berita yang aku terima, bila mana abang tu cakap tak ada kes kemalangan pun dekat kecemasan. Aku fikir abah dah dibawa ke Hospital Temerloh masa tu. Tak puas hati, aku tanya lagi sekali. 
"Tapi tadi saya dapat panggilan cakap abah saya dah dibawa ke hospital."
"Tak ada ni dik, memang tak ada kes apa apa. Kalau yang baru accident sekejap tadi, bukan dekat sini tapi dekat unit forensik."
Sekali lagi aku terkedu. Tangan dah sejuk semacam, takut nak dengar apa apa lagi dah. Tapi aku kuatkan juga diri aku untuk tanya walaupun aku dah dapat rasakan jawapan yang abang tu akan bagi.
"Eh takkan lah abah saya kemalangan sampai kena bawa ke unit forensik. Betul ke ni, nama abah saya Zulkarnain bin Malek. Kemalangan dekat depan Bank Rakyat. Abah saya tak ada apa apa kan?" Lama abang tu terdiam dan benarlah apa yang keluar dari mulut abang tu buat seluruh jiwa aku hilang dan kosong. 
"Tabah ye dik, apa apa pun turun bawah dulu ke unit forensik." 
Allahuakhbar. Aku peluk adik aku dekat sebelah, dalam kepala dah terbayang macam macam. Berat benar ujian Tuhan kali ini. Sampai dekat unit forensik, aku pergi dekat kawan abah aku dulu dan soalan sama yang aku tanya, "Abah macam mana, abah tak apa apa kan?" Masa tu memang aku tak boleh nak terima yang abah dah tak ada. Aku mengharap kan orang bagi jawapan sebaliknya pada aku. Tapi siapa lah aku untuk menidakkan kuasa Tuhan. Memang dah sampai masa nya abah pulang ke rumah abadi. 
"Dah dah jangan tanya apa apa dulu, pergi duduk tenangkan mak aok (awak) tu dulu." Aku menangis tapi tak ada setitik pun air mata yang keluar. Sakit, perit nak hadam semuanya. Bila aku peluk ibu dan ibu cakap, "Abah dah tak ada kakak, abah nak pergi sorang sorang dia aje. Dia tak nak pun kita ada sekali masa dia pergi."  Allah, masa tu air mata laju turun dan aku terus terduduk dekat situ. Fikiran aku kosong sekosong kosongya. Orang kiri kanan suruh aku istighfar jangan menangis, tapi yang aku hilang tu abah mana mungkin aku boleh tahan air mata aku. Kalau lah kalian ada di tempat aku masa tu, cakap lah apa sekali pun masa tu, aku tak boleh nak hadam apa apa. Orang call tanya betul ke tidak abah dah tak ada, aku tak boleh nak cakap apa apa. Air mata yang turun dulu. 
Tak lama lepas tu baru lah aku dah boleh tenangkan diri sikit, terus aku inform kawan kawan pasal abah sebab ramai juga kawan kawan aku yang kenal dengan abah. Walaupun masa tu semangat aku dah hilang, aku paksa kan juga buat. Dari abah dekat unit forensik sampai lah ke kubur, mashaAllah ramai sangat yang datang. Terlalu ramai, kawan kawan pejabat abah semua terus ke unit forensik sampai kan pejabat tu kosong sekosongnya. Kawan abah sampai cakap,"rezeki abah aok, dia meninggal ni ramai sangat orang datang, ramai orang sayang dia." Iye memang ramai orang yang sayang abah tapi Tuhan lagi sayangkan abah. 
Bila doktor panggil waris terdekat untuk masuk buat pengecaman wajah, lagi lah aku tak kuat sampai satu tahap aku doa minta minta tu bukan abah aku. Mula mula aku memang tak nak masuk sebab aku tak sanggup nak tengok tapi doktor tu cakap kena juga masuk sebab ini SOP dia orang dan dia juga cakap yang bahagian muka abah aku ni tak ada apa apa pun. Masih sempurna macam biasa. Masuk aje dalam tu, bila doktor buka beg tu memang betul abah aku. Benda pertama yang keluar dari mulut aku, "Allah abah, kenapa abah macam ni?" Aku usap usap kepala abah mengharapkan abah bangun. 
Kalau baca daripada tajuk berita ni, nampak macam tragis benar cara abah pergi. Hakikatnya keadaan abah masih sempurna cuma patah di bahagian tengkuk dan tulang paha kiri. Abah meninggal sebab berlakunya pendarahan yang agak teruk di bahagian perut menyebabkan abah tak boleh survive. Ada staff Bank Rakyat tu cakap, masa awal awal tu jari abah bergerak gerak lagi tapi beberapa saat lepas tu tangan abah dah tak bergerak dan staff dekat situ lah yang cari kain untuk tutup abah. Allah, luruh lagi hati aku dengar tambah pula abah kemalangan masa nak hantar sarapan pagi untuk aku. Orang siap cakap, kuih cakoi tu elok duduk dalam raga motor pejabat abah. Allah. 
Masa hari abah meninggal tu ibu dengan adik aku memang dah tak kuat, aku lah yang uruskan semua daripada sign borang untuk post mortem sampai lah selesai. Kali kedua aku masuk tengok abah lepas dah siap post mortem. Sekejap sangat post mortem tu, doktor pun cakap dia orang tak operate pun sebab daripada luar dah boleh tahun punca kematian abah. Masa ni aku peluk abah, aku usap usap kepala abah. Air mata aku makin laju keluar bila nenek aku cakap, "mak ingat awak lah yang akan bela (jaga) mak, rupanya awak pergi dulu sebelum mak." Siap post mortem terus lah mandi dan kapankan abah dekat situ. 
Kali ketiga aku masuk untuk jumpa abah buat kali terakhir. Lama aku cium dahi abah, sejuk aje abah masa tu. "Tenang aje kan abah tu pergi, macam abah tengah tidur." Iye abah tidur, tapi tidur yang panjang dan tak bangun bangun. Kaki aku dah tak kuat masa tu, aku dah terduduk dekat satu sudut dalam bilik untuk tenangkan diri sendiri. Adik dan ibu aku dah sampai satu tahap jalan pun kena ada orang papah kiri kanan. Nak tak nak, aku kena juga kuatkan diri sendiri. 
Lepas aje dah siap uruskan abah, terus bawa ke masjid untuk solat. Ikut kan lepas solat dia orang nak terus kebumi kan abah tapi aku minta untuk tunggu setengah jam sebab adik beradik abah dan sepupu sepupu aku ada lagi yang belum sampai. Sementara menunggu tu, sempat lah buat sekali lagi solat jenazah dekat surau berdekatan kubur. Rezeki abah, ramai betul orang yang solatkan abah hari tu. Abah ni memang ramai sangat kawan, ada hari tu aunty Cina datang menangis nangis bila tahu abah dah tak ada. 
Terlalu ramai yang datang, sampai kan dekat unit forensik tu kita orang kena masuk guna pintu staff. Semua yang datang bagi penghormatan terakhir dekat abah, semuanya bercerita tentang kebaikan abah dengan dia orang sampai satu tahap aku tak sanggup nak dengar sebab tak kuat. Bayangkan lah sehari sebelum abah pergi, malam tu aku siap bergurau gelak gelak macam biasa dengan abah. Tiba tiba bangun esok harinya aku nak kena hadam yang abah kemalangan dan meninggal di tempat kejadian. 

Allah Allah. Perit tu masih sampai dan terasa hingga ke hari ini. 

Malam sebelum abah pergi tu, abah makan dengan berselera lauk yang ibu masak, abah siap cakap lagi, "ini lauk yang paling sedap abah makan." Abah lah teringin sangat nak makan solok lada, gulai lemak ikan tongkol dengan ikan rebus cicah kicap. Malam tu pun abah tidur elok, cuma abah ada batuk beria sikit, aku dah tak sedap hati. Terdetik masa tu, abah kenapa ni sebab abah tak pernah batuk beria macam ni. Tapi aku tak keluar pun tengok abah sebab tak lama lepas tu abah elok tidur. Pagi tu pun abah sempat bangun tengok game Liverpool. Cuma ibu cakap pagi tu abah tak cerita apa apa pun dekat ibu pasal bola macam kebiasaannya. Sebelum pergi kerja, abah sempat pesan dekat ibu, 'kereta tu boleh gerak lagi, guna lah dulu." Abah pesan sebab masa ni abah dengan ibu tengah plan nak beli kereta lain untuk ibu. Ibu cakap pagi tu abah siap tunggu kereta ibu bergerak baru abah naik motor pergi pejabat. Siapa sangka rupanya itu lah pesanan dam pandangan terakhir daripada abah, pukul 10 pagi lebih kurang, aku terima berita abah dah tak ada untuk selama lamanya. 
Alhamdulillah semua urusan haritu dipermudahkan sangat, selesai kebumikan abah sebelum asar. Kawan kawan abah ramai sangat yang membantu. Ada seorang pak cik tu, kawan masjid abah menangis nangis malam tu dia jumpa dengan aku. Dia cakap dia terasa sangat dengan kehilangan abah sebab setiap hari abah akan parking motor dekat masjid sebelah motor dia, solat pun sama sama, dengar mengaji apa semua. Dia siap cakap, malam tu dia siap bergurau lagi dengan abah dan dah sama sama rancang nanti Ramadhan nak ada satu hari berbuka puasa di masjid. Lagi lah aku rasa sedih. 
Terima kasih pak cik jadi kawan yang baik untuk abah. Saya percaya pak cik kawan yang baik sebab saban hari saya dengar abah bercerita tentang pak cik. Semoga setiap kebaikan pak cik untuk abah diberikan keberkatan dunia akhirat. Siapa sangka gurauan terakhir itu rupanya jadi kenyataan, abah yang pergi dulu. 

Lepas abah meninggal, fikiran aku memang entah ke mana mana. Hari hari menangis, balik Gombak pun seminggu yang pertama aku tak boleh nak fokus langsung. Orang datang bilik jumpa atau pun terserempak dengan kawan kawan tanya aku okay ke tidak, tak boleh nak cakap apa apa. Air mata yang turun dulu. Rindu sangat yang sampai satu tahap tidur aku pun berselimutkan kain pelikat abah. 

Nasihat aku buat kalian yang masih punyai abah/ayah/papa; hargai lah mereka selagi masih ada sebab bila satu hari nanti Tuhan ambil pinjaman yang paling berharga ini, rindu macam mana sekali pun tak mampu nak buat apa apa selain doa. Selagi ada masa ini, selalu lah balik kampung jenguk dia orang kalau tak ada apa apa halangan. Jangan berkira sangat masa, duit yang ada sebab masa yang ada ini lah nak luangkan dengan dia orang. Kalau tak mampu sangat, call lah setiap hari. Ambil gambar dan video banyak banyak untuk simpan dalam phone. Aku sekarang bila rindu sangat, mampu buka aje video lama lama sebab aku nak dengar suara abah. 

Rindu. 

Abah, 
Kalau lah kakak tahu hari Rabu tu hari terakhir kita jumpa, kakak nak peluk abah, nak cium tangan abah, nak minta maaf dengan abah. Kakak nak minta maaf kalau kakak tak jadi anak yang baik selama ini. Patut lah hari tu abah telefon tanya bila kakak nak balik, kenapa kakak tak balik balik lagi padahal anak kawan abah dah balik Jerantut masa tu, rupanya abah nak pergi masa kakak ada dekat rumah. Terima kasih abah sebab 'tunggu' kakak balik dulu sekurang kurangnya sempat juga kakak luangkan masa dengan abah tiga hari. Kalau lah masa tu kakak di Gombak, entah macam mana keadaan kakak nak terima berita kepergian abah. 

Abah, 
Tak ada salah silap dekat mana mana pun selama abah membesarkan kakak, serba serbi cukup. Abah dah jalankan tanggungjawab dan amanah abah dengan baik, tak ada langsung cacat cela di mana mana. Terima kasih abah, cuma kakak terkilan abah tak sempat tengok convo kakak padahal abah selalu tanya bila kakak habis. Tak apa abah, kakak akan habiskan juga semua ini tak lama dah. Ini kan impian abah daripada dulu. Nanti kalau ada rezeki kakak balik duduk Jerantut. Kakak dah faham kenapa abah selalu suruh kakak balik 'buat harta' dekat Jerantut, rupanya bukan sebab abah nak kakak kerja dan buat rumah dekat sini sangat pun, cuma abah nak kakak jaga ibu dengan adik adik kan abah? InshaAllah abah, slow slow kakak usahakan untuk abah. 

Abah, 
Abah rehat lah, mesti abah dah penat kan kerja keras untuk keluarga kecil kita. Tugas abah dekat dunia ni dah selesai semuanya dan dah sampai masanya abah pulang ke rumah abadi. Berehat lah abah, nanti kita sama sama jumpa dekat syurga ye abah. Sejak abah pergi ramai sangat yang membantu keluarga kita abah, kawan kawan abah selalu tanya khabar. Ada mak cik pak cik dekat pasar sampai nangis nangis bila tahu abah tak ada. Dia orang siap buat sumbangan lagi sebab dia orang cakap abah orang baik baik. Allah abah, syurga buatmu abah. 

Abah, 
Lepas ni kakak akan rindu senyuman abah, gurau senda abah, gelak tawa abah dan kakak akan rindu nak lepak dekat mamak sama sama. Lepas ni siapa nak teman kakak makan tosai lagi, abah. Tak ada dah orang nak tanya, kakak nak makan apa balik nanti. Tak ada dah abah. Semuanya akan berubah lepas ni tapi tak apa, kakak percaya abah dah berada di tempat yang jauh lebih baik. Ibu pun selalu cakap, abah ada aje ni dengan kita cuma abah dekat tempat dan dunia yang lain. 
Zulkarnain bin Malek - 01011969
Selamat Malam, Abahku Sayang 💓
Al Fatihah. 









10 comments:

  1. Alfatihah buat arwah.. sabar ye nani..

    ReplyDelete
  2. Alfatihah buat arwah abah Nani. Insya Allah, syurga untuk abah Nani. Semoga Nani terus kuat ya!

    ReplyDelete
  3. berehatlah dulu dari dunia blog kak nani..
    salam takziah utk pemergian abah tercinta. rindu yg tiada ganti..

    ReplyDelete
  4. Salam takziah buat Nani sekeluarga.. moga rohnya dicucuri rahmat..

    ReplyDelete
  5. salam takziah nani..alfatihah utk arwah abah nani

    ReplyDelete
  6. Salam takziah buat Nani sekeluarga. Semoga Allah mencucuri rahmat dan menempatkan rohnya dikalangan org2 beriman.. aamiin. Al fatihah.

    ReplyDelete
  7. Allahuu..semoga rohnya berada di kalangan kesayangan Allah

    ReplyDelete
  8. Salam Takziah Nani
    doa banyak2
    dan banyakkan bersabar
    Al-Fatihah

    ReplyDelete
  9. Salam takziah nani. Semoga arwah abah nani ditempatkan bersama orang2 yang beriman. Amin yra.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2015 JIAKREATIFELT. All rights reserved. | Sign in|Top of page